Najib persoal pembekuan akaun peribadi


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan ketidakadilan dan layanan yang diterima beliau berikutan pembekuan akaun bank serta dinafikan kebebasan peribadi walaupun mematuhi semua perintah mahkamah.

Bekas Perdana Menteri berkata, beliau adalah warga negara biasa seperti orang lain dan wajar diberi keadilan selagi tidak dibuktikan bersalah mengikut undang-undang.

"Saya ditahan Selasa lalu dan dihadapkan ke mahkamah pada keesokan harinya, namun dibebaskan pada hari sama dengan jaminan RM1 juta. Dua anak saya menjadi penjamin dan wang jaminan itu dibayar dua kali, iaitu pada Rabu dan bakinya pada Isnin lalu.

"Persoalannya, mengapa akaun bank anak dan cucu saya dibekukan tanpa notis sejurus bayaran pertama wang jaminan sedangkan mereka tiada kaitan dengan sebarang transaksi atau menerima kontrak perniagaan dengan kerajaan," katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook beliau, hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, ramai tidak tahu bahawa akaun bank peribadi yang digunakan sejak bertahun-tahun lalu itu dibekukan minggu lalu.

Beliau menegaskan, akaun berkenaan tiada kaitan dengan kes mahkamahnya kerana hanya digunakan untuk menerima gaji sebagai Ahli Parlimen dan pencen menteri besar Pahang selepas berdekad berkhidmat dengan kerajaan negeri dan persekutuan.

Katanya, sebagai ketua keluarga, beliau juga perlu membayar pelbagai bil termasuk perubatan dan pembekuan akaun itu menyebabkannya mengalami kesulitan untuk menjelaskan bayaran serta melaksanakan tanggungjawab kepada keluarga.

"Saya berhak diberikan akses kepada kebebasan peribadi sehingga perbicaraan selesai, justeru saya memohon kepada semua pihak supaya mematuhi peraturan bagi memastikan siasatan dapat dilakukan dengan adil dan saksama.

"Sekiranya kita tidak menghormati kedaulatan undang-undang, undang-undang berkaitan serta Perlembagaan Persekutuan, akhirnya kita akan menjadi sebuah negara yang gagal," katanya.

Najib juga berkata, beliau dimaklumkan pagi ini bahawa akaun anak-anaknya tidak lagi dibekukan dan ini jelas membuktikan bahawa arahan pembekuan akaun mereka sebelum ini adalah tidak berasas.

Namun, katanya, akaun peribadi beliau masih dibekukan meskipun ia tiada kena mengena dengan politik atau siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.

"Saya hanya menyedari akaun dibekukan apabila cek peribadi yang dikeluarkan untuk pembayaran rawatan perubatan anak perempuan saya ditendang.

"Tindakan itu tidak wajar, seolah-olah kerajaan menafikan kebebasan peribadi meskipun mahkamah sudah memberikan saya jaminan sementara menunggu perbicaraan dan semua syarat jaminan juga sudah dipenuhi.

"Jika semua ini diteliti, ia nampaknya menjurus kepada 'mala fide' (sangkaan buruk)," katanya.

Menurut Najib, rekodnya sebagai ahli politik membuktikan beliau seorang demokrat yang percaya pada proses keadilan dan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan.

Namun, katanya, ada pihak tertentu yang terus terbabit dalam politik kotor dengan melemparkan pelbagai tuduhan mengenai bagaimana cara beliau mentadbir kerajaan, yang menjejaskan reputasi.

"Ia adalah cerita yang tidak berasas semata-mata kerana tiada bukti yang dapat menyokongnya.

"Seperti rakyat lain, saya adalah warga negara biasa di negara ini dan selagi tidak dibuktikan bersalah oleh undang-undang, saya perlu diberi hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil.

"Saya menghormati pilihan rakyat yang memberi mandat kepada kerajaan baru yang menjanjikan ruang demokrasi lebih luas dan berharap kerajaan juga akan berpegang kepada janji berkenaan," katanya.

sumber : https://www.bharian.com.my
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==